Hidup Ini Indah

Kehidupan hanya boleh difahami jika ianya mengundur ke belakang...tetapi kita perlu hidup terus ke depan...walau bagaimanapun, kita tetap mampu untuk memahami kehidupan jika kita benar-benar ikhlas menerima segala ketentuan TUHAN!

05 Mac 2011

Meluruskan Rusuk Yang Bengkok

JANGANKAN lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka; hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apalagi yang tiada di syurga, namun Nabi Adam a.s tetap rindukan Siti Hawa. Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri ataupun puteri. Dijadikan mereka daripada tulang rusuk lelaki yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki. Tetapi kalau lelaki sendiri tidak lurus, tidak mungkin dia mampu untuk luruskan mereka.

Tidak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus. Luruskan wanita dengan cara yang ditunjukkan oleh ALLAH, kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh ALLAH. Didiklah mereka dengan panduan daripada-Nya. Jangan cuba jinakkan mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar. Jangan hiburkan mereka dengan kecantikan, nanti mereka semakin menderita. Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada ALLAH yang kekal, di situ suisnya.

Akal setipis rambutnya, tebalkanlah dengan ilmu.
Hati serapuh kaca, kuatkanlah dengan iman.
Perasaan selembut sutera, hiasilah dengan akhlak.

Suburkanlah, kerana dari situlah nanti mereka nampak nilaian dan keadilan Tuhan. Akan terhibur dan berbahagialah hati mereka walaupun tidak menjadi ratu cantik, presiden atau perdana menteri ataupun women gladiator sekalipun. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan. Itu bukan diskriminasi Tuhan, kerana rahim wanita yang lembut itulah mengandungkan lelaki-lelaki waja; negarawan, karyawan, jutawan dan wan-wan yang lain.

Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak terhibur apatah lagi menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan sahaja tidak diluruskan bahkan mereka pula yang membengkokkan. Lebih ramai lelaki yang dirosakkan oleh perempuan berbanding perempuan yang dirosakkan oleh lelaki. Sebodoh-bodoh perempuan pun, boleh menundukkan sepandai-pandai lelaki.

Itulah akibatnya apabila wanita tidak mengenal Tuhan. Mereka tidak akan kenal diri mereka sendiri apalagi mengenal lelaki. Kini bukan lagi ramai bos telah kehilangan sekretari, bahkan anak pun kehilangan ibu, suami akan kehilangan isteri dan bapa akan kehilangan puteri. Apabila wanita derhaka, dunia lelaki akan menjadi huru-hara. Apabila tulang rusuk patah, maka rosaklah jantung, hati dan limpa. 

Para lelaki pula jangan hanya mengharapkan ketaatan dari mereka, tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju ALLAH, pimpinlah diri sendiri dulu kepada-Nya. Jinakkan diri dengan ALLAH, nescaya akan jinaklah segala-galanya di bawah pimpinan lelaki. Insya-ALLAH.

"Jangan mengharapkan isteri seperti Saiyidatina Fatimah r.a. selagi peribadi belum seperti Saiyidina Ali r.a."