Hidup Ini Indah

Kehidupan hanya boleh difahami jika ianya mengundur ke belakang...tetapi kita perlu hidup terus ke depan...walau bagaimanapun, kita tetap mampu untuk memahami kehidupan jika kita benar-benar ikhlas menerima segala ketentuan TUHAN!

22 Mac 2011

Episod 5 : Surat Untuk Sekalian Sahabat...

Salam untuk sekalian sahabat...Surat ini aku titipkan setelah lama termenung panjang... Mengimbau kembali memori-memori tatkala kita bersama mengharungi liku-liku kehidupan, membuat aku tersedar bahawa masih ada yang belum kucurahkan sepenuhnya sepanjang kita menjalin satu ikatan persahabatan. Jika dahulunya aku lebih suka memendam luka, menahan derita, tapi kini aku lebih selesa untuk meluah segala rasa... Bukan untuk mencipta sengketa tapi aku ingin membetulkan cerita... Supaya kita sekaliannya lebih saling memahami dan terus menghargai insan-insan yang sentiasa berada di samping kita; yang sering memberi segala sokongan tatkala suka mahupun duka...tatkala kita kecewa mahupun bahagia...dan yang sering mempertahankan kita agar maruah dan harga diri kita tidak dipersenda...

Sekalian Sahabat,

Dalam dunia ini, kau tidak punya sesiapa kecuali diri sendiri... Tetapi, dalam bersendiri, kau beruntung kerana mempunyai seorang sahabat yang memahami dirimu. Sebagaimana kau mengharapkan keikhlasan dan kejujuran daripada seorang sahabat, begitu juga dengan aku. Tetapi kau sering terlupa akan hal itu. Kau cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan sendiri.

Kau rasa dikhianati bila aku tidak menepati janjiku. Kau tidak memberi aku peluang untuk menerangkan keadaan sebenarnya. Bagi kau, itu alasannya untuk aku menutup kesilapan dan membela diri. Kau terlupa, kau juga pernah membiarkan aku ternanti-nanti... Kerna kau juga pernah ada janji yang tidak ditepati. Kau beri beribu alasan, memaksa aku menerima alasanmu.

Waktu itu, terfikirkah kau tentang perasaan aku? Seperti kau, aku juga ada perasaan, tahu akan rasa kecewa... Tetapi kau sering terlupa. Untungnya mempunyai seorang sahabat yang sentiasa di sisi kau pada waktu kau memerlukan aku.

Aku mendengar luahan perasaanmu, segala rasa kecewa dan ketakutan, harapan dan impian kau luahkan dan aku memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah. Selalunya kau asyik bercerita tentang dirimu, hingga kadang-kadang terlupa yang aku juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama.

Pernahkan kau memberi aku peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbangku, rasa takutku? Pernahkah kau menenangkan aku sebagaimana aku pernah menenangkan kau? Ikhlaskah kau mendengar tentang kejayaan dan berita gembira ku? Mampukah kau menjadi sumber kekuatanku seperti mana aku meniup semangat setiap kali kau berasa kecewa dan menyerah kalah?

Dapatkah kau yakinkan aku bahawa kau boleh dipercayai, kau boleh dijadikan tempat untuk aku bersandar bila terasa lemah, agar tidak rebah? Bolehkah kau menjadi bahu untuk aku sandarkan harapan?

Sesekali jadilah sahabat yang mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan sahabat, kerana aku juga seorang manusia; aku tahu perasaan takut, aku juga ada rasa bimbang, sedih dan kecewa. Aku juga ada kelemahan dan aku juga perlukan sahabat sebagai kekuatan.

Jadilah kau sahabat aku yang sebenarnya. Kau selalu melihat aku ketawa, tetapi mungkin sebenarnya aku tidak setabah yang kau sangka. Di sebalik senyumanku itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan, di sebalik ketenanganku itu, mungkin tersimpan seribu kekalutan, kau tidak tahu... Tetapi jika kau cuba menjadi seorang sahabat seperti aku, mungkin kau akan tahu...


Sahabat Kalian,
Kembara Sejalur Warna.