Hidup Ini Indah

Kehidupan hanya boleh difahami jika ianya mengundur ke belakang...tetapi kita perlu hidup terus ke depan...walau bagaimanapun, kita tetap mampu untuk memahami kehidupan jika kita benar-benar ikhlas menerima segala ketentuan TUHAN!

27 Februari 2011

Episod 3 : Satu Kesilapan; Sampai Bila-bila...

Menjadi seorang manusia yang terpaksa mengharungi kehidupan dalam dunia ini bukanlah satu perkara mudah. Banyak cabaran dan rintangan yang perlu kita tempuhi. Namun jika kita tahu bagaimana mahu membawa diri dan tahu menghormati, insya-ALLAh, segala-galanya akan dipermudahkan... 

Sebagai manusia biasa, kita kadangkala alpa dengan segala kesilapan yang kita lakukan. Bagi kita, kita tidak melakukan apa-apa kesalahan, namun tidak bagi pandangan orang yang berada disekeliling kita. Lingkaran 360 darjah tidak pernah terlepas pandang daripada memerhatikan segala tindak tanduk kita kerana memang begitulah rutin masyarakat kita yang suka mengambil peduli tentang perihal orang lain.

Sama ada berita dan cerita yang dikisahkan itu benar ataupun tidak, ianya tidak penting kerana sekali ianya tersebar, pastinya masyarakat kita akan terus mempercayainya dan terus menjadi perantara dalam menyebarkan informasi-informasi tersebut ke merata ceruk selagi berada di dalam liputan kawasan yang mereka kenali....

Aku juga mengalami perkara yang serupa...kerana sedikit alpa, aku kini melakukan satu kesilapan. Kesilapan yang akhirnya terus menghantui hidupku sampai bila-bila... Menyesal bukanlah satu perkara yang bijak untuk aku saat ini, tapi aku harus lebih kuat dalam menentukan pendirian dan arah hidupku...

Kini aku menjadi seorang manusia yang lebih berhati-hati. Segala tindak-tandukku, akan aku fikirkan terlebih dahulu buruk dan baiknya. Aku tidak mahu melakukan kesilapan yang sama lagi. Biarpun kecil, namun apabila ianya sudah tersebar luas tetap menjadi satu perkara yang besar di mata masyarakat. Aku tidak mahu hanya kerana satu kesilapan yang kecil, hidupku terus menjadi buah mulut orang-orang yang tak bertanggungjawab. Hanya kerana satu kesilapan, ianya pasti akan terus diperkatakan sampai bila-bila...

Sungguhpun aku tidak mampu untuk memberi penjelasan kepada semua orang, cukuplah bila aku rasa aku sudah cuba melakukan yang terbaik yang aku mampu dan kesilapan itu sudah aku simpan menjadi lipatan sejarah yang langsung tak akan dikenang dan aku takkan benarkan walau sesiapa pun untuk kembali bercerita tentang hal itu walau secuit pun! Takkan ku biarkan. Aku akan tegas dan melawan jika terpaksa.

Tak ada manusia yang tidak melakukan kesilapan. Manusia tidak sempurna, malah tidak pernah sempurna! Walau bagaimanapun, aku tetap bersyukur kerana tidak semua manusia menyedari dan mahu mengakui kesilapan yang telah mereka lakukan. Aku bukanlah seorang manusia yang sempurna tetapi aku sedar aku hanyalah sejalur warna dalam kehidupan dan kembara ini takkan berakhir selagi nyawa dikandung badan...!

23 Februari 2011

Episod 2 : Komuniti Pemusnah...!

Kehidupan yang aku lalui lewat beberapa minggu ini sedikit terganggu. Keselesaan dan juga ketenangan yang baru sahaja aku nikmati setelah sekian lama tiba-tiba kembali menjadi sesuatu yang sangat meresahkan. Sehari dua ni fikiranku tidak pernah tenang. Ada sahaja perkara yang meresahkan hati dan fikiran. Makin difikir makin sakit kepala aku dibuatnya. Entahlah... Setahu aku, ini bukan kali pertama aku diuji. Malah ujian yang pernah aku tempuhi sebelum ini lebih hebat lagi dari ini dan Alhamdulillah, aku mampu mengahadapinya walaupun sendiri.

Tapi ujian-Nya kali ini benar-benar menguji tahap kesabaranku kerana aku terpaksa berhadapan dengan satu komuniti yang kacau-bilau dan komuniti ini bergerak aktif menyebarkan apa yang didengarkan ke cuping telinga mereka tanpa ada usul dan periksa. Sayangnya aku terperangkap di dalam komuniti yang selayaknya di panggil zoo ini. Sangat menyedihkan bila mana aku kadang-kadang terpaksa memasang topeng di muka dan berlagak seolah-olah keadaan ini langsung tidak mendatangkan kesan kepada aku. Hakikatnya aku sangat kesal!


Walaupun kali ini aku tidak bersendiri, tapi kekalutan ini masih lagi menjadi batu penghalang untuk aku kembali ceria dan hidup sepertia biasa. Setiap hari aku terpaksa menahan perasaan dan mengharapkan kepada Tuhan supaya kuatkan semnagatku agar aku terus mampu bersabar dengan segala tohmahan yang mereka perkatakan. Bukan sepasang dua mata yang mengerlingku sinis...Bukan seulas dua bibir mungil yang memerliku tajam...Bukan sekelompok dua kumpulan yang berbicara mengenai hal ini yang langsung tak ada kaitan dengan aku. Tapi oleh kerana penyebarnya sangat terkenal dengan sifat jalur lebar terpantas, terus-terus sahaja manusia yang berada di dalam komuniti itu percaya bulat-bulat apa yang disampaikannya. Kini aku menjadi topik utama dan menjadi bahan bualan dikalangan makhluk-makhluk zoo itu.


Tak aku nafikan, ada juga segelintir pihak yang menyokong dan mempercayai aku, tapi mereka ini hanya mampu diam dan tidak mahu berkata-kata. Mungkin mereka tidak mahu dianggap sudah menjadi sebahagian daripada komuniti pemusnah itu lalu berdiam diri adalah perkara yang paling tepat untuk mereka lakukan. Cumanya aku terpaksa mengharungi detik-detik ini dengan sendiri. Makanya aku haruslah menjadi seorang insan yang sangat kuat. Tapi aku tak kuat sebenarnya...Aku sangat rapuh... Aku tidak memerlukan seseorang untuk aku bergantung harap, tapi aku sangat memerlukan bahu untuk bersandar agar aku tidak rebah! 


Mujur juga seorang sahabat bermurah hati menawarkan telinga untuk aku hamburkan segala kekesalan. Sedikit-sebanyak dapat juga meringankan beban yang terus-menerus memberat dikepalaku ini. Sebenarnya ianya bukanlah satu hal yang besar tapi setelah diputar dan dipusing oleh pembelit yang kononnya merasakan dirinya raja di dalam zoo itu, perkara ini menjadi semakin menyesakkan. Aku bagaikan terhimpit di dalam satu ruang dan terpaksa bertahan menyedut nafas dari lubang udara yang sangat kecil. Tak tahu nak diceritakan kepada siapa kerana aku sudah tidak mampu untuk mempercayai apatah lagi untuk memberi kepercayaan.


Aku tahu ini adalah ujian Tuhan untuk aku dan aku akan tetap menjaga kesabaranku selagi aku termampu. Aku sangat berharap agar sahabatku itu tidak berasa jemu mendengar segala keluhanku dan masih mahu menawarkan diri menjadi pendengar yang setia. Mudah-mudahan dia mampu mendapatkan kembali ketenangan untukku. Dan aku sangat mengharapkannya...!


Walau apa pun, aku tetap percaya bahawa setiap ujian yang Tuhan datangkan kepada Hamba-Nya mempunyai maksud yang tersirat yang amat sulit untuk difahami. Aku pasti ada hikmah yang tersembunyi dan suatu masa nanti mungkin aku akan mengerti. Aku hanyalah sejalur warna dalam kehidupan dan kembara ini takkan berakhir selagi nyawa dikandung badan!

:S: a :H: a :B: a :T:

Persahabatan tidak mungkin terjalin jika kita hanya memberikan sebahagian dari diri kita, sebab setiap jiwa berbeda dengan jiwa yang lain. Dalam persahabatan dan cinta, dua tangan terangkat berdampinganbersama untuk menemukan apa yang tidak dapat dicapai sendirian 


     - Kahlil Gibran -

13 Februari 2011

Resah Hati

Jika manusia kehilangan sahabatnya, dia akan melihat sekitarnya dan akan melihat sahabat-sahabatnya datang dan menghiburkannya. Akan tetapi apabila hati manusia kehilangan kedamaiannya, dimanakah dia akan menemukannya, bagaimanakah dia akan bisa memperolehinya kembali?

11 Februari 2011

Penguat Semangat!

Hadapi Dengan Senyuman


Hadapi dengan senyuman
Semua yang terjadi biar terjadi
Hadapi dengan tenang jiwa
Semua kan baik-baik saja
Bila ketetapan Tuhan
Sudah ditetapkan 
Tetaplah sudah
Tak ada yang bisa merubah
Dan tak akan bisa berubah
Relakanlah saja ini
Bahawa semua yang terbaik
Terbaik untuk kita semua
Menyerahlah untuk menang...!


p/s: lagu DEWA ni memang aku jadikan sebagai penguat semangat dalam mengahadapi segala cabaran dan rintangan dalam kehidupan... lagu ni buat aku tenang... lagu ni indah.. buat aku berfikir tentang kehidupan dengan lebih mendalam...yang paling penting lagu ni buat aku jadi kuat!!! (^_^)

05 Februari 2011

Episod 1 : Ketetapan Tuhan!

Setiap manusia di dalam dunia ini pastinya mempunyai sekurang-kurangnya satu impian yang ingin digapai. Impian yang memberikan harapan dalam setiap kehidupan. Impian yang menyerikan hidup setiap insan. esetengah daripada kita mempunyai impian kecil yang ingin disempurnakan. Sesetengah pula impikan sesuatu yang besar! Kecil atau besar bukanlah persoalannya kerana tanpa impian, kita takkan punya harapan untuk meneruskan kehidupan dalam dunia yang penuh dengan onak dan duri ini.

Seperti yang lainnya, aku juga punyai sebuah impian. Impian yang seharusnya membawa aku ke tempat yang menjadikan aku adalah aku. Impian yang bertanggungjawab dalam menentukan arah hidup aku. Impian yang sememangnya harus aku gapai supaya aku dapat buktikan kepada dunia bahawa aku mampu miliki segala-galanya yang aku inginkan!

Tetapi ketetapan Tuhan kadangkala tidak seiring dengan kehendak kita. Mahu atau tidak, kita tetap harus akur. Ya! ianya agak klise tetapi ternyata ianya benar dan tidak dapat disanggah. Kita sebagai manusia hanya mampu merancang. Tuhanlah yang menentukan segala-galanya.

Dulu, aku ghairah mengejar impian. Setiap hari impianku semakin mendekat dan setiap kali juga aku peluk mimpiku itu erat-erat. Aku mendaki setiap anak tangga menuju ke arah impianku dengan penuh sabar. Walau apa pun halangannya, aku tetap mendaki tanpa rasa bosan. Aku mendaki dan terus mendaki sehingga setapak sahaja lagi langkah yang perlu aku atur untuk memulakan hidup dalam dunia impianku. Hanya selangkah, dan impianku selama ini akan menjadi kenyataan.

Ternyata itu hanyalah impian yang sekadar impian kerana aku dengan rela akhirnya melepaskan impianku itu apabila kehidupan ini menuntut sedikit pengorbanan daripada aku. Bermula dari detik aku menyerahkan impianku kepada kehidupan, aku sedar bahawa mungkin impianku itu bukanlah yang terbaik untukku.

ada sesuatu yang sedang menanti aku. mungkin juga Tuhan mahu aku menunggu supaya aku lebih memahami apa itu tanggungjawab dan juga kehidupan.

Agak sukar untuk aku fahami semua ini pada awalnya, tapi kini aku mula mengerti bahawa hidup ini menuntut sesuatu sebagai pertukaran supaya kita manusia lebih menghargai kebahagiaan dan matang dalam memikirkan tentang masa depan. Hala tuju aku kini sudah sedikit tersasar daripada landasan awal yang aku bina, tapi aku redha.

aku hanyalah sejalur warna dalam kehidupan dan kembara ini takkan berakhir selagi nyawa dikandung badan!

04 Februari 2011

JAUH. Mulanya dekat. Dan jarak hanyalah mandala relatif, justeru erti dekat selalu memaknakan jauh, sementelahan jauh membanding erti dekat. Dan perjalanan menjelajah bumi atma, di bawa sejauh mana pun ke seantero dunia, tetap kembali ke titik paling dekat. DIRI.



                                                              - H.M TUAH ISKANDAR -