Hidup Ini Indah

Kehidupan hanya boleh difahami jika ianya mengundur ke belakang...tetapi kita perlu hidup terus ke depan...walau bagaimanapun, kita tetap mampu untuk memahami kehidupan jika kita benar-benar ikhlas menerima segala ketentuan TUHAN!

07 Mac 2011

Episod 4 : Sesuatu Di Antara Aku...!

Kebiasaannya, setelah terjaga daripada mimpi-mimpi indah mahupun ngeri di sebelah malamnya, aku akan terus bangun menyelak langsir untuk melihat warna langit. Langit yang disinari suria biasanya akan terus mendamaikan hati aku. Langit yang kelam pula akan membuatkan jiwa aku menjadi tak keruan dan membawa hatiku belayar entah ke mana-mana. Tapi hari ini, aku tidak  bertindak seperti yang sepatutnya...Aku tidak terus menyelak langsir seperti kebiasaannya kerana aku telah bermimpi dan mimpi ku itu sangat aneh...! Ianya tidak indah, tapi yang hairannya mimpi tersebut langsung tidak menakutkan...

Pagi ini aku terus melayari internet untuk berhubung dengan kawan-kawan yang dah lama aku tinggalkan... Mungkin jika aku ceritakan kepada mereka, mereka akan lebih memahami kerana mereka sudah sangat mengenali aku. Dan selalunya buah fikiran mereka akan memaksa untuk aku terus berjuang dalam meneruskan kehidupan. Sesekali bila dapat bersembang, memang amat menghiburkan! 

Tapi pagi ini sangat lain dari kebiasaannya. Aku dapat merasakan yang aku sudah semakin jauh. Aku dapat merasakan bahawa semakin lama aku semakin kabur dari pandangan mereka dan perasaan ini sangat-sangat menakutkan aku! Aku tidak tahu untuk meluahkan perasaan ini kepada siapa mahupun dalam bentuk yang bagaimana kerana tidak ada yang bakal memahami. Perasaan yang berbaur ini akhirnya mengheret jasad batinku ke ruang waktu yang tidak aku ingini...

Menyesal! itu bukanlah satu tindakan yang bijak... Aku tidak boleh menyesal! Aku harus terima hakikat bahawa perjalanan hidup setiap manusia itu tidak serupa dan aku menunjukkan betapa ceteknya akal aku jika hal itu yang aku persoalkan. Tidak...aku tidak menyesal...cuma aku paling tidak suka perasaan yang aku alami saat ini iaitu rasa kehilangan! Aku adalah manusia yang paling tidak kuat dalam melawan takdir dan perasaan kehilangan itu benar-benar mengganggu rutin kehidupanku. 

Ada sesuatu di antara aku yang masih belum selesai..... Sesuatu yang aku sendiri kurang mengerti....Ada persoalan yang harus ke berikan jawapan...Persoalan yang sangat sukar untuk difikirkan... Masihkah belum terlewat??? Itulah persoalan yang sering berlegar-legar di ruang fikiranku...  Masihkah belum terlewat untuk aku mencari titik mula cerita ini sedangkan akhirnya telah lama berlalu???  Atau haruskah aku mencari titik akhirnya ketika cerita ini baru bermula??? Aku tidak pasti dan aku langsung tidak tahu! 

Perjalanan hidup ini tak mampu kufahami... Pernah juga aku mencuba untuk selami tapi aku tidak mampu untuk menjadi pentafsir mimpi... Kehidupan ini bagaikan sebuah kisah yang tiada noktah. Ianya akan terus melagukan kisahnya hingga saat Tuhan menghentikannya... Sebelum tiba waktunya, aku harus terima hakikat bahawa aku hanyalah sejalur warna dalam kehidupan dan kembara ini takkan berakhir selagi nyawa dikandung badan!