Hidup Ini Indah

Kehidupan hanya boleh difahami jika ianya mengundur ke belakang...tetapi kita perlu hidup terus ke depan...walau bagaimanapun, kita tetap mampu untuk memahami kehidupan jika kita benar-benar ikhlas menerima segala ketentuan TUHAN!

03 Januari 2012

Episod 6 : Kita Hanya Merancang; ALLAH Yang Tentukan!

Aku sangat suka merancang. Kadang-kadang aku merancang untuk mengadakan majlis makan-makan. Kadang-kadang aku merancang untuk pergi bercuti. Kadang-kadang aku merancang untuk berkumpul bersama kawan-kawan. Kadang-kadang aku merancang membuat kejutan sambutan hari jadi buat rakan-rakan. Kadang-kadang aku merancang untuk meyeragamkan pakaian buat ahli keluarga setiap kali kami mengadakan majlis keramaian. Kadang-kadang aku merancang juadah masakan supaya aku tidak bosan. Kadang-kadang aku merancang pakaian untuk tempoh seminggu. Kadang-kadang aku merancang jadual perjalanan teman lelakiku untuk memastikan dia mendapat rehat yang secukupnya sebelum pulang menemui aku. Pendek kata, aku merancang segala-galanya. Kerana bagi aku, perancangan akan menyempurnakan lagi setiap perkara yang ingin kita lakukan.

Jika hal-hal yang kecil pun aku membuat perancangan, inikan pula hal-hal yang besar! Sudah pastilah aku menyediakan perancangan yang rapi untuk setiap perkara. Pekerjaan apa yang harus ku lakukan....Perniagaan apa yang boleh aku jayakan.....Konsep yang bagaimana.....Bertemakan apa.... Semua itu seringkali berlega-legar di dalam fikiranku. Jika Rancangan A tidak menjadi, aku akan pastikan aku boleh melaksanakan Rancangan B. Ianya bukanlah perkara yang mudah kerana aku jenis manusia yang suka mengawal. Jika sesuatu perkara itu berlaku tidak seperti yang aku rancangkan, aku selalunya akan panik dan menjadi seorang yang pemarah.

Begitu juga dengan majlis perkahwinan. Aku sudah menyiapkan segala perancangan tentang perkahwinanku lama dulu...Sebelum aku mengenali teman lelakiku lagi...Malah sebelum aku pandai bercinta lagi aku sudah mempunyai konsep dan juga tema untuk hari bahagiaku itu kelak. Perkahwinan adalah perkara terbesar bagi setiap gadis, perempuan, dan juga wanita di seluruh alam ini. Sungguh! Aku tak tipu. Mana ada perempuan yang tidak kisah mengenai majlis perkahwinan mereka. Mana ada gadis yang tidak kisah mengenai baju yang bakal mereka gayakan nanti. Mana ada wanita yang ambil mudah tentang warna dan juga tema untuk majlis mereka. Tak ada!

Setiap hari aku bermimpi untuk menjadikannya kenyataan. Aku sering berimajinasi menjadi sang puteri yang dikelilingi oleh dayang-dayang pada hari perkahwinanku nanti. Aku selalu terbayangkan kemeriahan, keunikan dan juga kemewahan majlis perkahwinan yang bakal aku adakan kelak. Sungguh hebat bunyinya kan? Tapi setiap perancanganku itu hanyalah mimpi indah dalam tidurku sahaja. Kenyataannya tidak sebegitu kerana aku hanya mempunyai masa sebulan sahaja untuk menyiapkan segala persiapan. Mujurlah aku hanya mengadakan majlis pertunangan dan juga majlis akad nikah sahaja. Jika mengadakan majlis persandingan sekaligus, pasti aku akan pegsan dan sesak nafas. Sangat kelam-kabut aku dibuatnya kerana aku masih belum menghadiri kursus kahwin mahupun membuat ujian HIV. Busana juga masih belum ditempah. Segala-galanya terjadi sangat cepat dan pantas. Saat ini aku mengalami paras tekanan yang maksimum kerana semuanya ini berada diluar kawalan aku. Chaos!

Mujur juga kali ini aku mampu mengawal emosi dan mengatur semula semua perkara satu-persatu supaya ianya tidak kelihatan begitu berterabur dan berkecamuk. Makin hari aku makin matang dalam membuat keputusan dan juga makin bijak merancang. Aku tidak kecewa keran tidak dapat megadakan majlis perkahwinan seperti yang aku impikan 8 tahun yang lepas, malah aku sangat bersyukur kepada ALLAH SWT kerana Dia telah memudahkan segala-segalanya! Aku sangat bersyukur kerana akhirya aku bakal diijabkabulkan dengan seorang lelaki yang pada pandanganku adalah jodoh yang diutuskan oleh-Nya khas untuk diriku dalam majlis yang ringkas dan sederhana tanpa membebankan mana-mana pihak. Dan aku sangat yakin bahawa jodohku itu akan mampu untuk menyempurnakan lagi hidupku sebagai seorang wanita dan juga muslimah di bumi Tuhan ini. Kita hanya mampu untuk merancang, tetapi TUHAN lah yang akan menetukan segala-galanya. Jadi kata-Nya, maka jadilah setiap peristiwa! Aku sangat bersyukur TUHAN! Walau bagaimanapun, aku hanyalah sejalur warna dalam kehidupan dan kembara ini tidak akan berakhir selagi nyawa dikandung badan!