Hidup Ini Indah

Kehidupan hanya boleh difahami jika ianya mengundur ke belakang...tetapi kita perlu hidup terus ke depan...walau bagaimanapun, kita tetap mampu untuk memahami kehidupan jika kita benar-benar ikhlas menerima segala ketentuan TUHAN!

27 Februari 2011

Episod 3 : Satu Kesilapan; Sampai Bila-bila...

Menjadi seorang manusia yang terpaksa mengharungi kehidupan dalam dunia ini bukanlah satu perkara mudah. Banyak cabaran dan rintangan yang perlu kita tempuhi. Namun jika kita tahu bagaimana mahu membawa diri dan tahu menghormati, insya-ALLAh, segala-galanya akan dipermudahkan... 

Sebagai manusia biasa, kita kadangkala alpa dengan segala kesilapan yang kita lakukan. Bagi kita, kita tidak melakukan apa-apa kesalahan, namun tidak bagi pandangan orang yang berada disekeliling kita. Lingkaran 360 darjah tidak pernah terlepas pandang daripada memerhatikan segala tindak tanduk kita kerana memang begitulah rutin masyarakat kita yang suka mengambil peduli tentang perihal orang lain.

Sama ada berita dan cerita yang dikisahkan itu benar ataupun tidak, ianya tidak penting kerana sekali ianya tersebar, pastinya masyarakat kita akan terus mempercayainya dan terus menjadi perantara dalam menyebarkan informasi-informasi tersebut ke merata ceruk selagi berada di dalam liputan kawasan yang mereka kenali....

Aku juga mengalami perkara yang serupa...kerana sedikit alpa, aku kini melakukan satu kesilapan. Kesilapan yang akhirnya terus menghantui hidupku sampai bila-bila... Menyesal bukanlah satu perkara yang bijak untuk aku saat ini, tapi aku harus lebih kuat dalam menentukan pendirian dan arah hidupku...

Kini aku menjadi seorang manusia yang lebih berhati-hati. Segala tindak-tandukku, akan aku fikirkan terlebih dahulu buruk dan baiknya. Aku tidak mahu melakukan kesilapan yang sama lagi. Biarpun kecil, namun apabila ianya sudah tersebar luas tetap menjadi satu perkara yang besar di mata masyarakat. Aku tidak mahu hanya kerana satu kesilapan yang kecil, hidupku terus menjadi buah mulut orang-orang yang tak bertanggungjawab. Hanya kerana satu kesilapan, ianya pasti akan terus diperkatakan sampai bila-bila...

Sungguhpun aku tidak mampu untuk memberi penjelasan kepada semua orang, cukuplah bila aku rasa aku sudah cuba melakukan yang terbaik yang aku mampu dan kesilapan itu sudah aku simpan menjadi lipatan sejarah yang langsung tak akan dikenang dan aku takkan benarkan walau sesiapa pun untuk kembali bercerita tentang hal itu walau secuit pun! Takkan ku biarkan. Aku akan tegas dan melawan jika terpaksa.

Tak ada manusia yang tidak melakukan kesilapan. Manusia tidak sempurna, malah tidak pernah sempurna! Walau bagaimanapun, aku tetap bersyukur kerana tidak semua manusia menyedari dan mahu mengakui kesilapan yang telah mereka lakukan. Aku bukanlah seorang manusia yang sempurna tetapi aku sedar aku hanyalah sejalur warna dalam kehidupan dan kembara ini takkan berakhir selagi nyawa dikandung badan...!