Hidup Ini Indah

Kehidupan hanya boleh difahami jika ianya mengundur ke belakang...tetapi kita perlu hidup terus ke depan...walau bagaimanapun, kita tetap mampu untuk memahami kehidupan jika kita benar-benar ikhlas menerima segala ketentuan TUHAN!

23 Februari 2011

Episod 2 : Komuniti Pemusnah...!

Kehidupan yang aku lalui lewat beberapa minggu ini sedikit terganggu. Keselesaan dan juga ketenangan yang baru sahaja aku nikmati setelah sekian lama tiba-tiba kembali menjadi sesuatu yang sangat meresahkan. Sehari dua ni fikiranku tidak pernah tenang. Ada sahaja perkara yang meresahkan hati dan fikiran. Makin difikir makin sakit kepala aku dibuatnya. Entahlah... Setahu aku, ini bukan kali pertama aku diuji. Malah ujian yang pernah aku tempuhi sebelum ini lebih hebat lagi dari ini dan Alhamdulillah, aku mampu mengahadapinya walaupun sendiri.

Tapi ujian-Nya kali ini benar-benar menguji tahap kesabaranku kerana aku terpaksa berhadapan dengan satu komuniti yang kacau-bilau dan komuniti ini bergerak aktif menyebarkan apa yang didengarkan ke cuping telinga mereka tanpa ada usul dan periksa. Sayangnya aku terperangkap di dalam komuniti yang selayaknya di panggil zoo ini. Sangat menyedihkan bila mana aku kadang-kadang terpaksa memasang topeng di muka dan berlagak seolah-olah keadaan ini langsung tidak mendatangkan kesan kepada aku. Hakikatnya aku sangat kesal!


Walaupun kali ini aku tidak bersendiri, tapi kekalutan ini masih lagi menjadi batu penghalang untuk aku kembali ceria dan hidup sepertia biasa. Setiap hari aku terpaksa menahan perasaan dan mengharapkan kepada Tuhan supaya kuatkan semnagatku agar aku terus mampu bersabar dengan segala tohmahan yang mereka perkatakan. Bukan sepasang dua mata yang mengerlingku sinis...Bukan seulas dua bibir mungil yang memerliku tajam...Bukan sekelompok dua kumpulan yang berbicara mengenai hal ini yang langsung tak ada kaitan dengan aku. Tapi oleh kerana penyebarnya sangat terkenal dengan sifat jalur lebar terpantas, terus-terus sahaja manusia yang berada di dalam komuniti itu percaya bulat-bulat apa yang disampaikannya. Kini aku menjadi topik utama dan menjadi bahan bualan dikalangan makhluk-makhluk zoo itu.


Tak aku nafikan, ada juga segelintir pihak yang menyokong dan mempercayai aku, tapi mereka ini hanya mampu diam dan tidak mahu berkata-kata. Mungkin mereka tidak mahu dianggap sudah menjadi sebahagian daripada komuniti pemusnah itu lalu berdiam diri adalah perkara yang paling tepat untuk mereka lakukan. Cumanya aku terpaksa mengharungi detik-detik ini dengan sendiri. Makanya aku haruslah menjadi seorang insan yang sangat kuat. Tapi aku tak kuat sebenarnya...Aku sangat rapuh... Aku tidak memerlukan seseorang untuk aku bergantung harap, tapi aku sangat memerlukan bahu untuk bersandar agar aku tidak rebah! 


Mujur juga seorang sahabat bermurah hati menawarkan telinga untuk aku hamburkan segala kekesalan. Sedikit-sebanyak dapat juga meringankan beban yang terus-menerus memberat dikepalaku ini. Sebenarnya ianya bukanlah satu hal yang besar tapi setelah diputar dan dipusing oleh pembelit yang kononnya merasakan dirinya raja di dalam zoo itu, perkara ini menjadi semakin menyesakkan. Aku bagaikan terhimpit di dalam satu ruang dan terpaksa bertahan menyedut nafas dari lubang udara yang sangat kecil. Tak tahu nak diceritakan kepada siapa kerana aku sudah tidak mampu untuk mempercayai apatah lagi untuk memberi kepercayaan.


Aku tahu ini adalah ujian Tuhan untuk aku dan aku akan tetap menjaga kesabaranku selagi aku termampu. Aku sangat berharap agar sahabatku itu tidak berasa jemu mendengar segala keluhanku dan masih mahu menawarkan diri menjadi pendengar yang setia. Mudah-mudahan dia mampu mendapatkan kembali ketenangan untukku. Dan aku sangat mengharapkannya...!


Walau apa pun, aku tetap percaya bahawa setiap ujian yang Tuhan datangkan kepada Hamba-Nya mempunyai maksud yang tersirat yang amat sulit untuk difahami. Aku pasti ada hikmah yang tersembunyi dan suatu masa nanti mungkin aku akan mengerti. Aku hanyalah sejalur warna dalam kehidupan dan kembara ini takkan berakhir selagi nyawa dikandung badan!